

Accessibility Tools
IPOH, 5 April 2026 – Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak hari ini melabuhkan tirainya dengan penuh jayanya selepas mencatat kehadiran luar biasa seramai 313,872 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang menyifatkan sambutan menggalakkan ini sebagai manifestasi keyakinan dan sokongan padu rakyat terhadap inisiatif Kerajaan MADANI.
Beliau berkata, kejayaan penganjuran PMR di Perak bukan sahaja membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan dalam mendekati rakyat, malah memperkukuh penyampaian perkhidmatan secara terus dan inklusif di peringkat akar umbi.
“Jumlah kehadiran yang memberangsangkan ini jelas menunjukkan rakyat menghargai usaha kerajaan membawa pelbagai perkhidmatan dan inisiatif terus ke lapangan. Ia menjadi pemangkin untuk kita terus mempertingkat mutu penyampaian pada masa akan datang,” katanya.
Sepanjang penganjuran, PMR Perak 2026 telah menghimpunkan lebih 200 perkhidmatan kerajaan, pelbagai inisiatif kesejahteraan rakyat, peluang pekerjaan serta aktiviti komuniti yang berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Dengan berakhirnya tirai di Perak, kejayaan ini menjadi penanda aras penting bagi penganjuran PMR seterusnya, sekali gus memperkukuh agenda Malaysia MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.