

Accessibility Tools
YAS Dato’ Sri Ts. Nor Hisham bin Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menerima kunjungan hormat daripada YBrs. Dr. Lim Chong Ling, Timbalan Pengerusi Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) Central bersama delegasi dalam satu sesi mesyuarat perbincangan yang berlangsung di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya.
Pertemuan ini memberi fokus kepada penerokaan peluang kerjasama strategik antara JBPM dan pihak industri di bawah MICCI Central, termasuk pembentangan produk serta penyelesaian teknologi yang berpotensi menyokong aspek keselamatan kebakaran, pengurusan risiko dan kelestarian persekitaran.
Turut dibincangkan ialah potensi kolaborasi dalam memperkukuh pematuhan standard keselamatan, inovasi sistem perlindungan kebakaran serta pendekatan proaktif dalam meningkatkan kesiapsiagaan organisasi dan premis komersial terhadap risiko kebakaran.
Kolaborasi ini mencerminkan komitmen berterusan JBPM dalam memperluas jaringan strategik bersama sektor perniagaan dan industri, selaras dengan usaha memperkasa agenda pencegahan serta mempertingkatkan tahap keselamatan kebakaran negara secara holistik dan mampan.
