

Alat Kebolehcapaian
Semua permohonan perakuan pelan bangunan dan pelan mekanikal & elektrikal hendaklah dikemukakan melalui Pusat Setempat (OSC) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di mana projek tersebut dibina. Para perunding boleh merujuk kepada Jadual Kategori Pemprosesan bagi mengemukakan permohonan kepada OSC yang berkaitan.
Para perunding hendaklah mengemukakan surat permohonan rasmi dan mematuhi Senarai Semak Keperluan Mengemukakan Pelan Teknikal (pelan bangunan dan pelan M&E) semasa mengemukakan pelan-pelan tersebut. Seterusnya, kedua-dua pelan akan diedarkan oleh OSC kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengikut Jadual Kategori Pemprosesan.
JBPM akan memberi ulasan dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh penerimaan kepada PBT dan seterusnya mengeluarkan surat pelepasan.
PERMOHONAN PEMERIKSAAN BANGUNAN BAGI PENGELUARAN SURAT PELEPASAN JBPM SIJIL PERAKUAN SIAP DAN PEMATUHAN (CCC)
Permohonan pemeriksaan bangunan bagi pengeluaran Surat Pelepasan JBPM perlu dikemukakan melalui Pusat Setempat (OSC) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di mana projek tersebut dibina. Permohonan pemeriksaan perlu mematuhi dan melampirkan Borang Senarai Semak Permohonan Pemeriksaan Keselamatan Kebakaran bersama-sama dokumen yang diperlukan.
Bayaran pemeriksaan perlu disertakan semasa mengemukakan permohonan pemeriksaan. Pembayaran boleh dibuat melalui kiriman wang, bank draf atau cek atas nama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Permohonan pemeriksaan tersebut akan dimajukan oleh OSC kepada JBPM mengikut Jadual Kategori Pemprosesan bagi menentukan tarikh pemeriksaan. Pemeriksaan akan dilaksanakan dalam tempoh tujuh (7) hari selepas surat pelepasan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pihak Berkuasa Air dikeluarkan. Surat Pelepasan JBPM akan dikeluarkan kepada pemohon pada hari yang sama pemeriksaan dijalankan.
Nota: Pemeriksaan bagi bangunan kediaman yang tidak melebihi ketinggian 18 meter adalah dikecualikan.