

Alat Kebolehcapaian

8 Julai 2026 | Pelabuhan Klang, Selangor
Penolong Pengarah Operasi Negeri Selangor, PgKB I Ts. Ashrul Riezal bin Asbar, telah mengadakan lawatan rasmi ke Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) bagi memperkukuh hubungan strategik serta kerjasama operasi antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor dengan pihak pengurusan pelabuhan dan pasukan bomba pelabuhan.
Lawatan ini turut disertai oleh wakil Bomba Northport dan Bomba Westports, PgKB I Redzuan dan PgB Qalam dari Bahagian Operasi JBPM Negeri Selangor, PgKB II Yunus, Ketua Zon 3 Klang, serta TPgKB Nazmi, Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang.
Antara objektif utama lawatan ini adalah untuk mengukuhkan hubungan kerja dua hala, mempererat jalinan kerjasama strategik serta meningkatkan penyelarasan operasi antara JBPM dan pasukan bomba pelabuhan dalam menghadapi sebarang insiden kecemasan di kawasan pelabuhan.
Dalam sesi perbincangan tersebut, Penolong Pengarah Operasi Negeri turut menyuarakan hasrat untuk melaksanakan latihan simulasi berskala besar di kawasan dermaga penyimpanan minyak dengan penglibatan pelbagai agensi. Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan, koordinasi dan kecekapan tindakan operasi melibatkan semua agensi berkaitan.
Sebagai pengisian lawatan, pihak Lembaga Pelabuhan Klang turut membawa delegasi JBPM meninjau kawasan dermaga Northport serta beberapa lokasi strategik di sekitar pelabuhan bagi memberi pendedahan secara langsung terhadap risiko-risiko kebakaran, kemalangan industri dan kecemasan yang berpotensi berlaku di kawasan pelabuhan.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan JBPM Negeri Selangor dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi dan pihak berkepentingan ke arah mempertingkatkan tahap keselamatan, kesiapsiagaan serta keberkesanan pengurusan operasi kecemasan di kawasan berisiko tinggi.