

Alat Kebolehcapaian

Penolong Pengarah Operasi Negeri, PgKB I Ts. Ashrul Riezal bin Asbar, telah mengadakan lawatan rasmi ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang bagi meninjau tahap kesiapsiagaan operasi, pengurusan aset serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) balai.
Turut hadir mengiringi lawatan ialah PgKB I Redzuan dan PgB Qalam dari Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor. Hadir sama ialah PgKB II Yunus, Ketua Zon 3 Klang, TPgKB Nazmi, Ketua BBP Pelabuhan Klang, serta pegawai-pegawai kanan Zon 3 Klang.
Lawatan dimulakan dengan pelaporan barisan anggota bertugas dan anggota yang selesai syif pada jam 8.00 pagi, diikuti nyanyian lagu Negaraku dan lagu “Siap Sedia Setiap Masa”, sebelum diteruskan dengan sesi pemeriksaan kelengkapan perlindungan diri (Kit Inspection).
Dalam sesi tersebut, Penolong Pengarah Operasi Negeri menegaskan bahawa Peralatan Perlindungan Diri (Personal Protective Equipment – PPE) merupakan keperluan mandatori yang wajib dipatuhi oleh setiap anggota dan tidak boleh dikompromi, khususnya ketika menghadiri sebarang operasi kecemasan. Penekanan turut diberikan terhadap aspek disiplin, pematuhan SOP serta pembudayaan amalan keselamatan sebagai keutamaan dalam penyampaian perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan.
Lawatan diteruskan dengan pemeriksaan ke atas jentera, kenderaan operasi, peralatan kebombaan serta stor balai bagi memastikan semua aset berada dalam keadaan baik, lengkap dan sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang optimum bagi menghadapi sebarang insiden kecemasan.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan JBPM Negeri Selangor dalam memastikan tahap kesiapsiagaan operasi, kebajikan anggota serta pengurusan aset jabatan sentiasa berada pada tahap terbaik demi memberikan perkhidmatan yang cekap, profesional dan berkesan kepada masyarakat.